APEC tak boleh goyah
Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) tidak boleh goyah dalam menyokong pasaran terbuka dan kerjasama ekonomi bagi mengurangkan lagi perpecahan ekonomi global, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata platform tersebut mesti meningkatkan manfaat perjanjian perdagangan pelbagai hala, seperti yang dihasilkan daripada Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP).
“Proses ini sememangnya menawarkan rangka kerja untuk kerjasama dan jalan bagi menangani cabaran secara kolektif dan memupuk integrasi ekonomi serantau,” katanya di majlis makan malam gala Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) semalam, lapor Bernama.
Tengku Zafrul berkata kelemahan yang dicetuskan daripada pandemik Covid-19 bersama-sama dengan ketegangan geopolitik yang berpanjangan telah membawa kepada isu seperti gangguan rantaian bekalan global dan lonjakan kos barangan dan logistik.
“Salah satu kaedah utama untuk mengharungi ‘ketidaktentuan’ ini adalah dengan mendepaninya secara bersama-sama. Oleh itu, inisiatif pelbagai hala seperti APEC adalah penting untuk membolehkan usaha kolektif dan berterusan dilakukan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata ketika dunia mengharungi “perubahan mendadak” itu, tindak balas APEC juga mestilah menyeluruh dan memandang jauh ke hadapan.
“Sehubungan itu, saya gembira apabila ABAC Peru akan memfokuskan rancangan tahun ini pada penyepaduan ekonomi serantau, pembangunan manusia dan kemampanan.
“Tonggak yang difokuskan ini menjadi kunci untuk mengemudi rantau Asia Pasifik dengan memupuk daya tahan ekonomi melalui integrasi, memperkasakan tenaga kerja mahir dan inklusif, dan menggalakkan amalan mampan dalam memastikan daya maju jangka panjang dan daya saing global,” katanya.
Berkongsi perspektif Malaysia, menteri itu berkata APEC mempunyai signifikan yang tersendiri untuk negara.
“Ia berfungsi sebagai tonggak asas bagi strategi ekonomi kami, membimbing penggubalan dasar negara sejajar dengan aspirasi kolektif rantau ini.
“Inisiatif Malaysia, yang merangkumi landskap digital yang dinamik kepada pemuliharaan persekitaran yang dikongsi oleh kita, bergema selari dengan prinsip teras APEC,” katanya.
Beliau menambah Malaysia mempunyai hala tuju ekonomi yang paling jelas pada masa ini seperti yang digariskan oleh agenda Ekonomi MADANI, disokong oleh beberapa dasar yang diumumkan tahun lepas.
Dasar-dasar tersebut ialah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Kimia dan Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Industri Nasional tahun lepas, katanya.
“Sama seperti prinsip-prinsip teras APEC, Malaysia kekal komited untuk bersikap terbuka dan menerima peluang dan pelaburan, terutamanya daripada rakan kongsi ekonomi yang telah lama wujud,” katanya.
Tengku Zafrul berkata pada 2022, ekonomi APEC memberi sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia, membentuk 76.5 peratus daripada aliran masuk pelaburan langsung asing bersih negara.
“Ini menghasilkan dedikasi teguh Malaysia untuk memupuk perkongsian ekonomi yang mantap dalam APEC,” katanya.
Beliau juga memuji mesyuarat ABAC pertama (ABAC 1) untuk 2024 di Kuala Lumpur, yang produktif dan membuahkan hasil setakat ini.
Tengku Zafrul berkata kepentingan mesyuarat tiga hari yang berakhir esok ini tidak boleh dibesar-besarkan kerana ia menandakan permulaan rasmi bagi pelan kerja 2024, pelan hala tuju penting yang akan berakhir dengan cadangan yang dibentangkan kepada Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC pada akhir tahun.
“Cadangan-cadangan ini akan memainkan peranan penting dalam membimbing penggubalan dasar untuk menangani kesan meluas yang berpunca daripada cabaran ekonomi dan geopolitik yang berterusan yang menjejaskan rantau Asia Pasifik,” tambahnya.