Ketua SPRM disaman oleh Daim

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa beliau disaman oleh bekas menteri Tun Daim Zainuddin ekoran dakwaan Daim bahawa tindakan SPRM tidak mengikut prosedur.

“Daim menyaman saya kerana menurutnya, tindakan ketua pesuruhjaya salah. Saya tidak boleh mendedahkan maklumat kerana kes sudah berada di mahkamah,” kata beliau dalam sesi ‘Integriti: Sejauh mana ketelusan dinilai?’ yang diterbitkan oleh Televisyen Sarawak.

Pada Jumaat lalu peguam Daim menyifatkan kenyataan Azam yang mendakwa bekas menteri kewangan tersebut mungkin mempunyai lebih banyak aset yang tidak diisytiharkan adalah sub judis.

“Selain dari kenyataan secara langsung terdapat banyak kebocoran maklumat menerusi sumber di SPRM,” kata peguam Rajesh Nagarajan.

Terdahulu Azam tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa asing dalam penyiasatan SPRM terhadap aset Daim di dalam dan di luar negara.

Baru-baru ini Daim telah didakwa kerana gagal mengisytiharkan harta sebagaimana yang diperlukan dalam notis yang dikemukan oleh SPRM.

Aset ini termasuk 38 firma, 25 hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.

Daim telah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.