Harga kawalan beras akan diputuskan minggu depan
Isu harga kawalan beras akan menjadi salah satu agenda utama pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), minggu depan, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, mesyuarat yang sepatutnya bersidang lebih awal ditangguhkan ke minggu depan bagi memasukkan hal yang lebih mendesak seperti harga kawalan beras.
“Kita tangguh mesyuarat Naccol ke minggu depan, di mana kita akan putuskan secara muktamad tentang harga beras yang dikawal.
“Walaupun ia (harga) tidak boleh rendah sangat, namun saya yakin boleh dikurangkan jika kita lihat semula dan teliti bekalan dapat dari mana, siapa kontraktor dan berapa banyak keuntungan mereka,” katanya ketika berucap dalam Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perda, lapor Bernama.
Anwar turut mengingatkan “orang tengah” agar tidak mengambil keuntungan yang terlalu tinggi kerana ini akan menyebabkan harga di pasaran melambung.
Pada 14 Feb, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup bawah Naccol, mengumumkan pengenalan beras putih Malaysia Madani pada harga RM30 kampit 10kg, berkuat kuasa 19 Feb dan pengguna boleh mendapatkannya di pasaran bermula 1 Mac.
Beliau berkata, dengan nama baharu itu kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan.
Syed Hussin berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Anwar dan dipersetujui untuk dilaksanakan.
Katanya, bagi beras putih Malaysia Madani kampit 5kg akan dijual pada harga RM15.50 dan 1kg RM3.50.
Sumber Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagaimanapun berkata bahawa perkara ini hanya cadangan Syed Abu Hussin.