Ada pihak ‘diternak’ untuk bertembung dengan perundangan Islam – Sanusi

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberikan bayangan bahawa pertembungan undang-undang sivil dan syariah berlaku kini kerana ada golongan yang ‘diternak’ untuk bertembung dengan mereka yang terlatih dalam sistem perundangan Islam.

“Mungkin 20-25 tahun, 30 tahun boleh jadi. Penjajah dah balik tahun 57. Tahun 60 an ada lagi orang putih. Sistem kita pun makin hari makin berubah. Sudah ada yang dilatih sempurna dalam sistem perundangan Islam. Ada pusat, institut perundangan Islam. Semua tu dah berkembang.

“Mereka ni pun berkembang juga. Maka pertembungan berlakulah. Ternakan itu telah menghasilkan benih baru.”

Beliau yang juga pengarah pilihanraya Perikatan Nasional memberi bayangan bahawa golongan ini telah dibentuk selama bertahun-tahun lama sehingga mereka turut berada dalam sistem kehakiman.

“Saya fikir penafsiran ini diternak, bukan jadi sendiri. Diternak untuk mengubah penafsiran itu. Diasuh, dipupuk supaya berlaku perkara ini.

“Ada rancangan, ada usaha-usaha yang berterusan dari dulu sampai sekarang supaya penafsiran dapat berubah dan mengubah kedudukan dua set undang-undang.

“Dia tak berlaku sendiri sehingga hasil daripada usaha-usaha itu telah membesar dan memegang jawatan-jawatan penting dalam negara ini. Maka penafsiran itu mengambil tempat dan menjalankan fungsi. Ini yang berlaku sekarang.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengabsahkan 16 peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (1) 2001 Kelantan.

Mahkamah membuat keputusan ekoran permohonan peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya atas dasar bahawa peruntukan tersebut melampaui had dan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang -undang persekutuan.

Sanusi turut mempersembahkan kejahilan berkenaan senarai persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama yang memperincikan bidang kuasa persekutuan dan negeri.

“Dulu disebut federal law, sekarang diambil federal list. Apabila federal list semua state tak boleh buat. Itu penafsiran.”

Ulasan ini telah dibuat meskipun Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengetuai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan bertenang.