Beras putih Malaysia Madani: Tiada keputusan dibuat, tiada pusingan-U

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menafikan kerajaan membuat pusingan U di dalam isu harga beras memandangkan kerajaan belum memutuskannya.

“Sebarang keputusan dasar perlu melalui Kabinet dan waktu ini belum ada makluman yang dibincangkan berkenaan perkara terbabit.

“Saya ambil maklum ia (cadangan) disebut Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam konteks beliau bekerjasama dengan Naccol (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara), tapi seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebut, Naccol akan teliti keseluruhan dan akan buat kenyataan kemudian.

“Bagi saya, mungkin ada penyelarasan perlu dilakukan dan bila timbul persoalan daripada pengusaha, pekedai dan peruncit (berhubung isu Beras Putih Malaysia Madani)…jadi saya lihat perkara ini perlu diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Khatan Parlimen Lembah Pantai di Masjid Al-Khadijiah di sini, hari ini.

Tiga hari lalu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang juga pengerusi jawatankuasa makanan di bawah Naccol dilaporkan berkata, kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani pada harga jualan RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) berkuat kuasa 19 Februari ini.

Serentak pengumuman itu, beliau memaklumkan, kategori beras putih tempatan atau dikenali sebagai super spesial tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun mengesahkan tiada keputusan dibuat dan bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar agar pengumuman dibuat selepas mesyuarat Naccol.