Finaz Yunus: Maaf, saya terkhilaf petik EKJS
Pengacara Di Sebalik Isu bersama FY, Finaz Yunus memohon maaf susulan kekhilafan memetik Kesalahan Seksyen 36 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
Beliau hanya menyedari kekhilafannya susulan teguran peguam Liyana Marzuki di ruangan komen.
“Sememangnya Seksyen 35 dan 36 telah disalah petik dalam soalan saya sehingga mengakibatkan rujukan kepada perkara mengkhayalkan yang dirujuk di bawah Seksyen 36 (yang dibatalkan) telah disalah rujuk kepada perkara yang memabukkan (yang tidak dibatalkan) di bawah Seksyen 35.
“Walau apa sekalipun, saya berterima kasih di atas teguran ini dan telah meminta pihak penerbitan untuk menurunkan video berkaitan,” katanya, lapor Sinar Harian.
“Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa. Selaku hos dan penerbit, saya mengakui kekhilafan saya disebabkan tersalah petik. Sewajarnya saya patut merujuk kertas penghakiman.
“Namun kebaikan masa hadapan, agensi media kerajaan sendiri juga perlu berhati-hati,” ujarnya.
Liyana yang juga aktivis masyarakat mengulas tentang persoalan dibangkitkan Finaz dalam program Di Sebalik Isu bersama FY bertajuk Kuasa Mahkamah Syariah Mudah Dicabar, Mana Silapnya? yang disiarkan melalui platform digital Sinar Harian.
Isu tersebut dibincangkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kesalah Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.