KANUN selar Luham, Pas membisu semasa dalam kerajaan

Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) telah menyelar Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas (Luham) yang memutar belitkan fakta kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid lawan Kelantan.

“Mereka menuduh kerajaan persekutuan dan Peguam Negara Malaysia menikus kononnya atas sebab kegagalan untuk menyertai prosiding tersebut,” kata setiausaha Biro KANUN, Marwan Abdullah dalam satu kenyataan.

“Fakta kes tersebut menunjukkan bahawa alasan utama Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah (I) Kelantan 2019 adalah berdasarkan kes duluan – kes Iki Putra Mubarrak lwn Kerajaan Negeri Selangor & Anor [2021] 2 MLJ 323) yang mana pada ketika itu Malaysia diperintah oleh kerajaan Perikatan Nasional dan ada Menteri Undang-Undang dan Menteri Agama yang diwakili oleh PAS.”

Marwan mendakwa Pas sebenarnya yang membisu ketika berada dalam kerajaan.

“Ketika itu juga PAS tidak pernah menggesa supaya Kerajaan Persekutuan atau pun Peguam Negara untuk mencelah dalam prosiding kes itu. Malah, PAS diam membisu pada ketika itu dan tidak berbuat apa-apa.”

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya memainkan peranan pro-aktif.

“Dalam kes Nik Elin ini Menteri Agama, Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mencelah dan membantah petisyen Nik Elin.

“Kerajaan Perpaduan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dengan pantas menyahut titah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kompetensi DUN dalam menggubal undang-undang.”

Beliau juga mengatakan bahawa KANUN mahu semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 peruntukan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2001 Kelantan sebagai tidak sah.

“KANUN mendapati ramai pihak yang tiada latar belakang undang-undang termasuk ustaz dan ustazah selebriti yang cuba mengelirukan orang ramai terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.”