Semua pihak perlu hormat keputusan mahkamah seperti titah Sultan Selangor

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan semua pihak supaya menghormati keputusan mahkamah seperti titah Sultan Selangor.

“Saya kembali kepada Titah Duli Tuanku. Sultan Selangor sebagai Pengerusi MKI telah menyatakan hasrat dan titah baginda supaya kita semua tanpa sebarang pengecualian menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Jadi, saya harap dengan titah yang agak jelas dari Duli Tuanku yang mengatakan bahawa kita semua kena menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak lain dan tidak bukan sepertimana yang dijelaskan oleh perdana menteri dalam ucapan beliau diasaskan kepada tafsiran Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Mohd Na’im berkata demikian dalam sidang media Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) 2024, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas kritikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini berhubung isu tersebut, beliau menegaskan titah Sultan Selangor itu adalah hakikat yang perlu diterima semua pihak.

“(Titah baginda) hakikat yang perlu diterima dan saya menjunjung kasih atas nasihat Duli Tuanku dan siapa saja boleh berikan pandangan tetapi kita kena kembali kepada titah Tuanku,” tambahnya lagi.

Menerusi catatan Minda Presiden Pas, 15 Februari lalu, Hadi berkata, negara-negara Islam hilang integriti akibat mengekalkan undang-undang penjajah walaupun telah mencapai kemerdekaan.

Kata bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu, para pejuang kemerdekaan suatu ketika dahulu telah meletakkan batu asas dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana Islam sebagai agama bagi Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Namun semenjak itu dakwanya, banyak pindaan undang-undang dibuat dengan meninggalkan syariat Islam.

Mantan Duta Khas ke Asia Barat berkenaan bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana kes atau memberi konteks terhadap ulasan tersebut.

Artikel Hadi itu disiarkan ketika pembangkang mempersoal keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 baru-baru ini.

BACA JUGA 16 seksyen yang ditolak Mahkamah Persekutuan hukum buatan manusia