Dua sungai di Kedah bukan dicemari dari ladang babi

Sisa buangan yang dikesan mencemarkan dua sungai di Kedah bukannya berpunca dari ternakan babi seperti dilaporkan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengesahkan pencemaran itu berpunca dari ladang itik yang tidak memiliki lesen menternak di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Penemuan tersebut hasil siasatan dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai ( MBSP), hari ini.

Menurut Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol, pada mulanya beliau bersama semua agensi berkaitan melakukan siasatan ke atas ladang babi yang dilaporkan.

Namun, jelasnya, siasatan mendapati pencemaran itu sebenarnya bukan berpunca daripada ladang babi terbabit.

Sebaliknya, kata beliau, kedua-dua sungai itu dicemari disebabkan ternakan itik yang terletak bersebelahan.

“Kita mendapati memang ada pelepasan terus daripada ladang itik terbabit yang terus (masuk) ke Sungai Air Merah dan juga menerusi Sungai Kulim,” katanya kepada media, hari ini.