RM12 juta peruntukan tangani tekanan psikologi pekerja
Sebanyak RM12 juta disediakan bagi pelaksanaan program khas dikenali sebagai Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA).
Peruntukan kerajaan itu membolehkan peserta memberi pertolongan awal kepada rakan sekerja yang mengalami tekanan psikologi.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penyertaan program yang dibangunkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) itu terbuka kepada pekerja di sektor awam dan swasta.
Menurutnya, OPFA bakal memanfaatkan 10,000 orang.
“Program ini antara komitmen kami tentang isu keselamatan dan kesihatan pekerja bukan sahaja fizikal malah mental juga.
“Para peserta akan dilatih untuk mengenali tanda-tanda awal tekanan psikologi dan cra untuk membantu rakan sekerja berhadapan dengan masalah tersebut,” katanya.
Steven berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-24, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (COSH 2024), hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan bahawa kesihatan mental di tempat kerja perlu ditekankan kerana ia berkait rapat dengan produktiviti syarikat.
“Sejak beberapa tahun lepas, permintaan terhadap latihan berkaitan kesihatan mental di tempat kerja meningkat ketara.
“Dengan adanya kemahiran yang diperoleh daripada program latihan OPFA ini, ia akan memanfaatkan majikan kerana membantu meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus mengurangkan isu ketidakhadiran,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Macam mana MP ini mempunyai 70 orang anak?