Johari sendiri akan ‘kejar’ MP yang tak buat pemeriksaan kesihatan

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi amaran dan akan terus memberi peringatan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang culas menjalankan pemeriksaan kesihatan.

Beliau menegaskan pemeriksaan kesihatan adalah syarat yang ditetapkannya untuk memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, semua orang termasuk Perdana Menteri mematuhinya.

“Kalau tak buat pemeriksaan kesihatan, saya sendiri akan ‘kejar’ mereka,” ujarnya.

Johari berkata demikian ketika sesi soal jawab dengan media sempena pertemuan bersama ketua pengarang media dan agensi berkaitan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, setakat ini semua Ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun menjalankan pemeriksaan kesihatan.

“Kita nak pastikan Ahli Parlimen sihat. Kalau mereka kelihatan dan bunyi seperti sihat tetapi dalamannya tidak.

“Jadi, mereka kena jumpa doktor untuk nampak kemas dan segak,” ujarnya.

Katanya, terdapat segelintir Ahli Parlimen yang nampak cergas sebaliknya disahkan doktor tidak sedemikian.

“Ini sebabnya kita paksa Ahli Parlimen jumpa doktor untuk pastikan tahap kesihatan mereka.

“Ia selepas 11 Ahli Parlimen rebah (di Parlimen sebelum ini).

“Ia selepas orang ingat mereka cergas tetapi tidak kerana mereka stres.

“Itu kita kena terus (pemeriksaan kesihatan) dan kita kena amalkan,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Datuk Johari Abdul: Dari reformis ke Speaker Dewan Rakyat