Nama kena petik sebab tak selesaikan isu air, setepek Taufiq balas walaun

Sejak kelmarin tular luahan penduduk di Kampung Batu Hampar, Merbok, Kedah yang dilapor sudah keletihan selepas terpaksa berdepan masalah bekalan air kritikal sejak sebulan lalu.

Berikutan itu Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari dipersalahkan atas permasalahan itu dengan ada yang mempersoal di mana keberadaannya.

“Hang pi mana, pi mana, pi mana @taufiqjohari,” komen salah seorang pengguna X.

Tidak berdiam diri, Taufiq membalas ciapan itu dengan menjelaskan bahawa Kampung Batu Hampar biarpun orang-orang kampung menganggap ia berada di kawasan Sungai Petani, namun ia sebenarnya terletak di bawah Parlimen Merbok.

Begitupun katanya, pihaknya akan berusaha supaya krisis tersebut berakhir.

“InsyaAllah Kita sama-sama tolong, semua pihak perlu mainkan peranan sepenuhnya demi kebaikan rakyat.

“Sedikit perlu ada pembetulan kalau orang kata ini adalah kawasan Sungai Petani (Taufiq Johari).

“Ini masuk kawasan Parlimen Merbok. Tapi kita tetap cuba berusaha supaya krisis ini berakhir,” katanya.

Untuk rekod, Parlimen Merbok merupakan kawasan yang dimenangi Perikatan Nasional (PN), ahli Parlimennya ialah Mohd Nazri Abu Hassan dari Bersatu.

Pada masa sama, pengendali akaun hebahan rasmi Sungai.Petani juga tampil menjelaskan bahawa ahli Parlimen Sungai Petani sudah mengerah pelbagai usaha untuk menyelesaikan isu air di kawasan itu.

Tetapi apa yang berlaku di Kampung Batu Hampar memerlukan tindakan lebih progresif dari pihak pengurusan air di Kedah.

“YB Taufiq dah bantu macam-macam untuk selesaikan masalah air di Sungai Petani. Mohon orang atasan yang menguruskan air di Kedah lebih progresif dalam membantu masalah air di Kedah.

“Mohon letak politik di tepi dulu dan fokus pada kebahagiaan masyarakat Kedah,” katanya lagi.

BACA JUGA “Kami dah letih”, penduduk Sungai Petani hilang sabar terpaksa angkut air sejak bulan lepas