PM ulangi pendirian kerajaan pertahan Perlembagaan termasuk Perkara 153

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa kerajaan teguh mempertahankan peruntukan Perlembagaan.

Pendirian tersebut, jelasnya, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak seperti yang termaktub dalam Perkara 153.

“Kita mempertahankan peruntukan Perlembagaan termasuk (Perkara) 153,” tegasnya yang juga Menteri Kewangan.

Anwar berkata demikian ketika menjawab secara ringkas berhubung cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim untuk meneliti semula isu sensitif berkaitan kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak.

Semalam, Hassan menerusi hantaran di Facebook berkata, perkara itu perlu dikupas secara ilmiah dan berfakta dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 bagi mengangkat prestasi ekonomi Bumiputera yang dikatakan masih jauh tertinggal berbanding kaum lain.

Antara lain, wakil rakyat PKR itu turut mencadangkan usaha mengenal pasti sama ada kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak dirampas atau dimanipulasi segelintir elit Bumiputera di Semenanjung dan Borneo demi kekayaan diri sendiri, keluarga, rakan serta kroni.

Hassan berkata, perbincangan juga perlu dibuat sama ada tindakan afirmatif termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi membantu ekonomi golongan Bumiputera atau sebaliknya.

BACA JUGA Hormati hak Sarawak dan Sabah, isu tertangguh mampu diselesai – Anwar