‘Terima kasih kerana tidak menyemak fakta terlebih dulu’ – Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli secara sinis menafikan sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) digodam seperti didakwa sebuah forum dalam talian.

Tegas Ahli Parlimen Pandan itu, kumpulan penggodam yang dikenali sebagai R00TK1T perlu mencari sumber yang sahih dan bukan menyebarkan maklumat salah.

“Terima kasih kerana tidak menyemak fakta terlebih dulu.

“Sekurang-kurangnya anda patut hubungi @paduofficial_ untuk pengesahan,” katanya dalam hantaran di X.

PADU telah dilancarkan pada 2 Januari lalu sebagai langkah memastikan penyampaian bagi mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi yang selama ini dinikmati golongan tidak selayaknya.

Pengenalan sistem itu adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.

Terdahulu, R00TK1T mendakwa telah mencuri data Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kumpulan penggodam itu berkata, akan mendedahkan data pengguna di Malaysia berjaya dicuri oleh mereka dan memberikan tempoh 12 jam kepada pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan mengenai kerentanan data yang berlaku.

Namun, pihak LPPKN masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kesahihan dakwaan pangkalan data mereka telah berjaya ditembus oleh penggodam.

BACA JUGA ‘Sakitnya memang ke langit’ – Rafizi dedah penyakit dialaminya