JaPen, MMM boleh mempunyai kod etika berasingan

Jabatan Penerangan (JaPen) dan Majlis Media Malaysia (MMM) yang akan ditubuhkan boleh mempunyai kod etika yang berasingan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Kod etika wartawan oleh Jabatan Penerangan hanya untuk pemegang kad perakuan jabatan berkenaan, tegas beliau.

Menurutnya kod etika yang dilancarkan yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam hanya versi yang telah dikemaskini.

“Jabatan ini mempunyai kod etika sejak 1989. Ia bukan dokumen baru,” katanya, lapor Malaysiakini.

“Majlis Media akan mempunyai kod tersendiri untuk ahlinya. Kod etika jabatan hanya untuk pemegang kad perakuan.”

Teo bagaimanapun tidak menjawab soalan berkaitan kod etika bertimpal sekiranya dilaksanakan.

Persoalan tersebut diserahkan kepada Fahmi.

Kod etika wartawan yang dilancarkan semalam mempunyai lapan perkara sebagai rujukan dalam pengurusan kad perakuan media.

Semalam Fahmi dilaporkan berkata bahawa pematuhan kod etika akan diselia oleh Majlis Media Malaysia yang akan ditubuhkan tahun ini