Kabinet bayangan: Berfungsilah dalam jawatankuasa khas parlimen, PN

Wakil rakyat pembangkang wajar menjalankan tugas mereka menerusi jawatankuasa khas parlimen berbanding dengan kabinet bayangan, kata jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil.

“Kabinet bayangan acapkali disebut. Ia belum dibincangkan dalam jemaah menteri.” kata Fahmi.

“Mutu hujah yang disampaikan oleh wakil-wakil rakyat menjadi penanda aras untuk melihat mutu tersebut.

“Kita juga mempunyai jawatankuasa pilihan khas yang dianggotai wakil rakyat pelbagai parti. Ia forum terbaik untuk memantau tugas-tugas yang dijalankan. Saya sarankan Perikatan Nasional berkhidmat dengan baik dengan jawatankuasa pilihan khas yang sudah ada,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada soalan media berkenaan kabinet bayangan yang ditubuhkan oleh PN.

Ketua Pembangkang Tan Sri Hamzah Zainuddin mengumumkan kabinet bayangan pembangkang lima hari lalu.

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Kepala Batas) memantau isu komunikasi; Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya), kewangan dan Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok), ekonomi.