Pembaharuan struktur oleh kerajaan akan perbaiki nilai ringgit

Pembaharuan struktur yang dilaksanakan oleh kerajaan akan memperbaiki nilai ringgit, menurut ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Mohd Afzanizam Abdul Rashim.

Beliau berkata turun naik mata wang ringgit adalah perkara biasa yang didorong oleh penunjuk makroekonomi kerana Malaysia negara perdagangan terbuka.

“Melihat kepada petunjuk makroekonomi, lebihan akaun semasa bagi 2023 kekal pada 1.2 peratus KDNK. Ini menunjukkan Malaysia mempunyai simpanan yang boleh digunakan untuk pelaburan dalam negara.

“Pasaran buruh kita berada dalam status guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran yang lebih rendah sebanyak 3.3% pada akhir 2023. Nilai ringgit sepatutnya lebih baik daripada apa yang ada pada masa ini,” katanya, lapor Bernama.

Bagaimanapun impak sentimen penilaian mata wang menyukarkan jangkaan mengenai isu tersebut.

Semalam Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menyatakan paras semasa ringgit tidak menggambarkan prospek positif ekonomi Malaysia.

Afzanizam turut menyatakan peri pentingnya Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal untuk reformasi fiskal dalam memastikan tadbir urus baik dan ketelusan.

“Apa yang boleh dilakukan ialah kita terus mengekalkan pembaharuan struktur seperti langkah cukai pembetulan, rasionalisasi subsidi yang akan menarik pelabur berkuakliti dan menangani isu teras.”

Beliau menambah bahawa kerajaan tidak perlu panik kerana hutang Malaysia adalah bentuk mata wang tempatan.

Pengarah urusan SPI Asset Management Stephen Innes pula menyatakan bahawa kelemahan semasa ringgit adalah bersifat sementara dan reaksi berlebihan.

Inflasi global turut melembapkan permintaan justeru ringgit berdepan pilihan sukar, katanya.