SEZ Johor: Kerajaan pusat – Johor bermesyuarat pada 28 Feb

Penyelarasan menyeluruh berkenaan pembentukan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di Johor akan diadakan melibatkan agensi kerajaan pusat dan Johor dan ia akan dimulakan dengan mesyuarat khas pada 28 Februari, umum jurucakap khas Kerajaan Madani Fahmi Fadzil susulan mesyuarat jemaah menteri hari ini.

mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Salah satu perkara yang dibincangkan berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor, ini ditegaskan Perdana Menteri bahawa perlu ada satu penyelarasan menyeluruh, oleh itu satu mesyuarat khas Persekutuan dan Negeri akan diadakan pada 28 Februari ini.

“Ia bagi meneliti sejumlah perkara melibatkan pihak Persekutuan seperti Kementerian Pengangkutan (MOT); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi; Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Kewangan (MOF), dan juga Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya lagi.

Katanya ini adalah salah satu usaha untuk mempercepatkan perbincangan mengenai zon ekonomi khas tersebut.

Idea SEZ terhasil ekoran lawatan Anwar ke Singapura tahun lalu.