Bekas menteri kewangan sudah dipanggil SPRM kes Spanco

Bekas menteri kewangan sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes membabitkan Spanco masih dalam siasatan dan akaun terbabit masih dibekukan.

Beliau berkata, ramai saksi yang sudah dipanggil memberi keterangan dan tidak menolak akan memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan.

“Kita sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan namun bekas Perdana Menteri ketika itu belum dipanggil memberi keterangan.

“Kita serah kepada pegawai penyiasat di mana jika ada keperluan akan memanggil bekas Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan,” katanya.

Azam berkata demikian kepada media pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk melaksanakan kerjanya berdasarkan undang-undang, aduan dan tohmahan yang diterima pihaknya.

“Buat masa ini, ia adalah tanggungjawab saya di mana apa saja yang diberi (aduan) kepada kami akan disiasat,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan Spanco hanya merugikan negara.

SPRM dilapor melakukan serbuan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri.

Serbuan itu bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

SPRM turut menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan dengan memanggil lebih 20 individu.

Kira-kira 80 akaun syarikat serta individu yang berkaitan dalam kes itu turut dibekukan.

BACA JUGA Kes SPANCO: PM, Menteri Kewangan terbabit akan dipanggil