Delegasi ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara ke sempadan Mesir-Rafah

Delegasi Malaysia membabitkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengadakan lawatan khas ke sempadan Mesir-Rafah bagi menunjukkan sokongan penuh dalam isu Palestin ketika negara ini menyertai prosiding permintaan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kesan dasar pendudukan Israel.

Lawatan yang bermula semalam hingga Sabtu diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin bersama Ketua Kaukus Palestin di Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) dan Senator Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-AMANAH).

“Lawatan khas ini bertujuan untuk mempamerkan sokongan penuh Malaysia terhadap isu Palestin. Delegasi akan mengambil peluang membuat lawatan ke lintasan Rafah-Gaza di mana bekalan kecemasan dan bantuan kemanusiaan daripada Malaysia disalurkan ke Gaza dengan kerjasama rapat bersama Kerajaan Mesir dan Ops Ihsan,” menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Kenyataan itu berkata antara program lain dalam lawatan itu termasuk kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Luar Negeri Mesir, Hamdi Loza, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) Dr Rami Al Nazer dan lawatan ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).

“Intipati perbincangan adalah mengenai kerjasama Malaysia untuk membantu rakyat Palestin di Gaza termasuk yang memerlukan rawatan perubatan di Mesir,” ujarnya.

Sempena lawatan itu, acara simbolik penyerahan sumbangan rakyat Malaysia akan diberikan kepada ERC dan PRCS dengan masing-masing berjumlah AS$250,000 dan AS$500,000.

Sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai RM5.6 juta (AS$1.2 juta) telah tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada November dan Disember lalu.