‘Ghaib’ sudah 9 bulan, menantu Mahiaddin perlu kembali ke tanah air

‘Ghaib’ sudah 9 bulan, menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin, perlu kembali ke tanah air untuk menghadapi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kertas siasatan membabitkan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang menghilangkan diri sejak Mei tahun lalu telah pun selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, Muhammad Adlan, 48, sudah bersedia untuk dituduh di mahkamah.

Walau bagaimanapun, sehingga kini dia masih belum dapat dikesan.

“SPRM telah hantar kertas siasatan itu untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya.

Azam Baki berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre hari ini.

Untuk rekod, dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada Interpol pada Oktober tahun lalu untuk permohonan Notis Merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya Mansoor Saat, 69.

Kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei tahun lalu.

Beberapa dokumen, termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu terbabit telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.

Muhammad Adlan terbabit dalam kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

BACA JUGA Tuduhan rasuah RM 92.5 bilion: Adakah Mahiaddin akan didakwa? Bahagian 2