Radzi Jidin tak ada ‘locus standi’ untuk ulas prestasi ringgit – AMK
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin tidak ada ‘locus standi’ untuk bercakap tentang prestasi ringgit kerana beliau sendiri gagal menguruskan ekonomi tatkala berpeluang melakukan sedemikian.
Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar berkata, ulasan Radzi terkait prestasi ringgit dilakukan secara tidak adil kerana nilai ringgit yang terjejas, dipengaruhi faktor luar yang kuat.
Beliau berkata, sedang Naib Presiden Bersatu itu galak menjual sentimen dan syak wasangka, angka yang sengaja dilupakan menunjukkan prestasi ekonomi di bawah Perikatan Nasional adalah jauh lebih buruk berbanding prestasi ekonomi hari ini.
“Ini termasuklah Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang paling rendah di Asia Tenggara pada tahun 2020; selain penarafan Fitch Ratings merudum yang menyebabkan peningkatan bunga kepada hutang negara.
“PN juga mencatat inflasi yang tinggi mencecah 4.5 peratus; kadar pengangguran tinggi; serta puluhan ribu peniaga gulung tikar kerana polisi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan separuh masak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Radzi mendakwa kerajaan tidak serius menangani kesan kejatuhan nilai ringgit yang berlaku ketika ini.
Ahli Bersatu itu turut menyindir tindakan pemimpin kerajaan yang dikatakan ‘menikus’ apabila ditanya mengenai perkara berkenaan.
Sementara itu Haziq berkata, ekonomi negara kini jauh berbeza dengan ketika pentadbiran PN iaitu dari segi kadar pengangguran yang menurun, inflasi, FDI dan Bursa Saham yang menunjukkan perkembangan yang sangat positif sekali gus mengiyakan faktor luaran terhadap prestasi ringgit yang mutakhir.
“Radzi hakikatnya hilang ‘locus standi’ secara moral untuk bercakap tentang prestasi ringgit apabila menganggotai Jemaah Menteri yang gagal menguruskan ekonomi tatkala berpeluang melakukan sedemikian rupa.
“Oleh itu, beliau wajar bermuhasabah dan ‘mencermin’ dirinya yang secara tidak malu menjaja naratif songsang terkait prestasi ringgit semasa tatkala mereka gagal menguruskan ekonomi sewaktu 33 bulan menjadi kerajaan.
“Pastinya banyak cermin yang boleh diperoleh di sekitar kawasan konstituensinya di Putrajaya,” katanya.
BACA JUGA Menteri Agama siasat pendedahan Mawla tunggang nasab Nabi Muhammad