‘Hadi tak perlu berprovokasi’

Setiausaha agung AMANAH Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang yang mendakwa perlembagaan persekutuan sebagai anti-Islam dan bom jangka sebagai provokasi.

“Kenyatan terbaru Hadi yang menuduh Perlembagaan Persekutuan sebagai bom jangka dan anti-Islam adalah satu kenyataan yang sangat tidak sihat.

“Kenyataan tersebut satu permainan provokasi sepertimana “Amanat Hadi” yang diisytiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. “Amanat Hadi” inilah yang membawa kepada memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.”

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada dakwaan Hadi ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 enakmen di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (I) Kelantan 2001.

Kes tersebut telah difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terhadap kerajaan Kelantan.

“Kenyataan terbaru tersebut yang cuba dikaitkan dengan kes Nik Elin adalah sangat tidak relevan. Keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan 16 kesalahan syariah Kelantan adalah ekoran kekhilafan ahli DUN Kelantan yang meluluskan Enakmen berkenaan walaupun jelas bercanggah dengan prinsip perundangan negara,” jelas Faiz.

Faiz menegaskan enakmen syariah masih boleh dikuatkuasakan dan diperluaskan selagi mana ia selaras dengan perlembagaan persekutuan.

“Pemisahan kuasa antara persekutuan dan negeri tidaklah menjadikan undang-undang Islam kelas kedua sedangkan pemisahan ini selaras dengan asas pembentukan dan struktur pentadbiran negara berasaskan prinsip federalisme sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Faiz juga menangkis dakwaan Islam terancam kerana Perkara 3 mengangkat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

“Perlembagaan yang sama juga menjadi asas kepada kedudukan istimewa orang Melayu, Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang didokong sehingga kini oleh seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.