Jangan ambil mudah usaha PN untuk rampas Selangor

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Yahya Mat Sahri mengingatkan komponen kerajaan perpaduan Ph dan BN agar tidak mengambil mudah usaha Pas dan Perikatan Nasional untuk merampas Selangor dalam pilihan raya umum ke-16.

Beliau menegaskan peri pentingnya kedua-dua pakaatan politik meningkatkan kerjasama dalam mematahkan naratif lawan yang mencipta persepsi negatif dalam mempengaruhi pengundi.

“PH dan BN dalam kerajaan perpaduan perlu duduk bersama menjiwai perpaduan sebelum pilihan raya, keserasian kerjasama itu perlu digerakkan daripada kepimpinan negeri, Parlimen, DUN dan kampung.

“Sekiranya usaha ini berjaya, sudah tentulah ia akan memberi kekuatan kepada kerajaan perpaduan mempertahankan Selangor,” katanya, lapor FMT.

Beliau mengingatkan bahawa PH dan BN perlu menunaikan janji yang dibuat agar ia dinilai rakyat yang akan mengundi.

“Cuma pada pandangan saya, PAS kena lihat dan pengundi juga kena lihat dari sudut perbandingan cara pengurusan ditunjukkan kerajaan perpaduan Selangor di bawah kepimpinan Amirudin dan negeri ditadbir PAS, termasuk dari segi ekonomi dan perniagaan, mana lebih baik,” katanya, merujuk kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada hari Ahad, Ketua Penerangan Pas Selangor Zurk Ahmad dilaporkan menghidupkan semula slogan “Pas for All” yang pernah digunakan dua dekad lalu.

Pas yang menganggotai PN secara kolektif memenangi 22 DUN dan menafikan majoriti dua pertiga PH-BN yang menguasai 34 daripada 56 kerusi.