Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan selaraskan sesi libat urus Beras Putih Malaysia Madani

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus berkaitan Beras Putih Malaysia Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan seusai mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Sesi libat urus akan melibatkan wakil industri seperti pengilang dan NGO pesawah.

“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.”

Hasil libat urus akan dimuktamadkan dalam mesyuarat NACCOL pada tahun depan – 20 Mac 2024.

Dalam tempoh ini, Anwar mahu program jualan murah diperbanyakkan.

“Dalam tempoh itu, saya mengarahkan agar program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

“Jadual pelaksanaan jualan-jualan murah ini akan dihebahkan secara kerap.”

Beliau turut mengumumkan bahawa Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga beras putih import dalam pasaran tempatan agar harga boleh dikurangkan.