Malaysia akan pertingkat bantuan kewangan kepada UNRWA

Malaysia akan meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar yang dimulakan oleh Amerika Syarikat menghentikan sumbangan mereka buat UNRWA.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkara itu menerusi perbualan telefon bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, petang semalam.

“Selain bantuan tahunan, Malaysia baru-baru ini menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA, selain AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

“Saya turut sampaikan penghargaan buat Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.

“Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.