Orang Asli di Gua Musang gusar, baru sebulan kontraktor baiki jalan dah rosak lagi
Sekumpulan penduduk orang Asli di Gua Musang meluahkan kegusaran apabila1 jalan yang menjadi laluan utama mereka untuk ke bandar Gua Musang masih rosak teruk dan berselut.
Jalan yang bermula dari Pos Hau ke Pos Balar itu dilaporkan sudah siap diselenggara pada November tahun lalu, namun ia kembali rosak dan berlubang hanya selepas sebulan jalan itu digunakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, jalan berkenaan rosak ketika musim tengkujuh Disember lalu hingga menyebabkan penduduk yang mahu pulang ke Pos Balar terpaksa bermalam di dalam hutan.
Katanya, lebih 1,000 penduduk tidak dapat keluar untuk berurusan di bandar Gua Musang.
“Kami terpaksa menggunakan jalan yang lebih jauh iaitu melalui Pos Bihai dan Pos Belatim untuk keluar ke bandar.
“Pihak kontraktor sudah melakukan kerja membaiki jalan namun ia hanya bertahan sebulan sahaja. Jalan ini turut menjadi laluan utama penduduk membawa dan menghantar pesakit ke hospital.
“Selaku Pengerusi JPKKOA, saya berharap kerja baik pulih jalan dapat dilakukan lebih sempurna dan turut membabitkan wakil penduduk Orang Asli” katanya memetik laporan Harian Metro semalam.
Manakala bagi, Nen Aja, 27, berkata, penduduk Orang Asli berdepan masalah apabila banyak laluan jalan rosak teruk dan sukar untuk dilalui walaupun menggunakan motosikal.
Lebih menambahkan masalah, perjalanan yang dahulunya mengambil masa empat jam untuk ke bandar, kini memakan masa selama tujuh jam.
“Sebelum ini kami hanya mengambil masa empat jam untuk ke bandar Gua Musang, namun apabila ia sudah rosak masa perjalanan semakin lama sehingga memakan masa tujuh jam.
“Harapan kami sebagai orang kampung, pihak berwajib harus membaik pulih jalan yang rosak secepat mungkin. Sebelum ini jalan sudah dibaiki tetapi musim tengkujuh menyebabkan jalan kembali rosak teruk,” katanya.
Sementara itu, wakil rakyat tunggal BN di Kelantan iaitu Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dilaporkan sudah meninjau keadaan jalan utama menuju ke Pos Balar itu.
Katanya, pihak kontraktor diharapkan dapat melakukan kerja dengan amanah serta teliti bagi mengelak kesulitan kepada penduduk Orang Asli yang berulang-alik menggunakan jalan itu.
BACA JUGA Peniaga Pasar Siti Khadijah termenung pasar kosong, pengunjung lari ke Hatyai?