Jangan jadikan kejatuhan RM sepak terajang politik
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya isu kejatuhan nilai ringgit ketika ini tidak dijadikan “sepak terajang politik”.
“Sebab itu kita cari jalan untuk perbaiki dan jangan ini dijadikan sebagai sepak terajang politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Restu Global Quranic Arts Festival ‘Gaya Hidup Islam”, di Putrajaya, hari ini.
Semalam perdana menteri menegaskan situasi ekonomi negara hari ini tidak boleh disamakan dengan krisis kewangan 1998 memandangkan kedudukan negara ketika ini jauh lebih baik meskipun kemelesetan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Dalam 1998 selain kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran adalah tinggi, selain tiada pelaburan asing masuk dalam negara.
“(Berbeza) ketika ini, ia perlu dilihat secara keseluruhan, (Malaysia) mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan.
“(Malah) pertumbuhan (ekonomi negara) adalah berdaya tahan sama seperti negara jiran,” katanya.
Anwar juga yakin pelabur masih mempunyai keyakinan terhadap ekonomi negara dan disebabkan itu jumlah pelaburan paling tinggi direkodkan dalam sejarah negara.
“Inflasi menurun, kadar pengangguran menurun, pertumbuhan dapat kita pertahankan walaupun dalam keadaan dunia lembab dari segi ekonomi,” kata Anwar lagi.
Jelas Anwar, peningkatan mata wang dolar Amerika Syarikat berbanding nilai ringgit tidak seharusnya menjadi ketakutan memandangkan kerajaan menggunakan ringgit dalam perdagangan seperti dalam perdagangan dengan China, Thailand dan Indonesia.
“Kalau kita guna ringgit…isu dolar tak ada kesan…kita bimbang kalau ringgit jatuh kemudian inflasi meningkat, pertumbuhan (ekonomi) terbantut pelaburan tak datang,” katanya.