KP pelancongan diturunkan pangkat bukan dipecat, banyak peluang diberi tapi prestasi gagal

Sejak semalam tular dakwaan bahawa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memecat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia selepas 36 tahun KP itu berkhidmat dalam industri pelancongan.

Menjawab spekulasi tersebut, King Sing berkata Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sama sekali tidak dipecat, sebaliknya diturunkan pangkat kerana gagal mencapai prestasi kerja yang ditetapkan.

Ujar King Sing, banyak peluang telah diberikan kepada Ammar memandangkan beliau mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelancongan.

Katanya, bukan dia sahaja yang memberi nasihat, timbalannya pun sudah menasihatkan Ammar tentang apa yang harus dilakukan, namun beliau gagal melaksanakan tugasnya.

“Saya bimbang saya sudah beri banyak kali peluang dan nasihat, bukan sahaja saya, termasuk timbalan saya sendiri. Apa sepatutnya buat yang terbaik untuk negara kita kepada pelancong-pelancong.

“Tetapi saya tak tahu (sama ada) beliau tidak ada idea atau beliau tidak tahu macam mana hendak buat. Bila beliau tidak boleh ‘perform’ (menunjukkan prestasi), saya mesti tukar,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini.

Pelancongan

King Sing berkata, kementerian akan memberi peluang kepada mana-mana pekerja yang menunjukkan prestasi yang bagus dalam pekerjaan.

Beliau juga mendedahkan bahawa daripada dulu lagi apabila bekas Ketua Pengarah sudah pencen, nama Ammar bukanlah yang pertama dalam senarai nama pengganti.

“Saya beri beliau (Ammar) peluang tetapi apabila beliau menjalankan tugas, beliau tidak membuktikan itu PHD.

“Kita tidak boleh rancang apa-apa, kalau tengok pelancongan, destinasi baharu tiada. Beliau tidak ada perbincangan dengan negeri-negeri,” jelasnya

Dalam pada itu, King Sing turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan pangkat itu tidak ada kaitan dengan unsur perkauman.

“Kita ikut proses sedia ada, kalau tidak boleh (capai prestasi), kita turun.

“Jadi tidak ada unsur-unsur perkauman. Kalau kita bagi satu kaum sahaja kerja, lain-lain kaum macam mana?

“Kalau beliau (Ammar) tidak boleh buat kerja, jangan buat malu kepada kementerian atau Tourism Malaysia, pergi main simpati atau kata dipecat sedangkan dia turun jadi Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia,” ujarnya.

Pada Jumaat, media melaporkan kenyataan Ammar yang kecewa apabila perkhidmatannya selama 36 tahun dalam industri pelancongan ditamatkan.

Menurut Ammar, sebagai kakitangan kerajaan yang telah lama berkhidmat, beliau sentiasa melakukan tugas mengikut prosedur dan tatacara betul.

Sebelum itu, tular satu surat bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung penamatan pelantikan Ammar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia berkuat kuasa 24 Februari 2024.

BACA JUGA ‘Kami tak umum jihad lawan inflasi, tapi inflasi kami terendah’ – Annuar Musa disindir