Sehari mengemis sampai RM500, JKM terkejut pengemis pandu Proton X70

Hanya berbekalkan muka simpati dan mengenakan jubah putih beserta kopiah, seorang pengemis mampu menjana pendapatan lumayan mencecah RM500 dalam tempoh empat hingga lima jam mengemis.

Bukan itu sahaja, dalam diam pengemis itu juga sebenarnya memiliki sebuah kereta model Kenderaan Sukan Utiliti (SUV) jenis Proton X70 Flagship.

Pendedahan tersebut dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran, Pahang di akaun Facebook rasminya selepas menjalankan operasi membanteras pengemisan di sekitar pasar malam Sri Jaya, Maran.

Ujarnya, lelaki warga tempatan yang berjubah itu akan duduk di celahan payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas untuk meminta simpati orang ramai yang lalu lalang.

Setelah pihak penguatkuasa JKM Maran menghampiri pengemis tersebut dan bertanyakan tujuan beliau meminta sedekah, lelaki itu berlakon seperti seorang yang pekak dan bisu sambil memegang beg kertas yang dipenuhi kepingan duit kertas.

“Berkali-kali penguatkuasa JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi pada hari ini tetapi tidak mendapat respon daripada lelaki tersebut. Setelah didesak barulah lelaki tersebut bersuara.

“Normal rupanya. Beliau bukanlah seorang yang pekak dan bisu. Cuma seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal (kedua-dua belah tangannya tidak normal). Beliau mengatakan bahawa kad pengenalannya berada di dalam kereta.

“Penguatkuasa JKM mengekori lelaki tersebut ke keretanya. Percaya atau tidak, seorang yang tadinya hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan dirinya memandu sebuah Proton X70 Flagship,” katanya.

mengemis

Tambah hantaran tersebut, siasatan lanjut dijalankan mendapati pengemis itu tinggal di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk menjalankan aktiviti pengemisan.

“Semakan juga mendapati lelaki itu menerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450 sebulan sejak tahun 2001 lagi. Dia juga mengakui bahawa kereta Proton X70 Flagship tersebut adalah miliknya.

“Lelaki tersebut dilepaskan dengan amaran oleh penguatkuasa JKM. Kita ingin ingatkan, tidak salah orang ramai untuk bersedekah tetapi bersedekalah kepada orang dan tempat yang betul,” ujarnya.

BACA JUGA Farhash fail saman RM1 juta terhadap Chegubard, Afif atas dakwaan memfitnah