Selangor bersama PDRM, Imigresen halang kemasukan anasir pencetus keraguan dan fitnah

Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan keraguan dan fitnah di kalangan masyarakat Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah mengingatkan umat Islam di negeri itu agar terus berwaspada dengan pengakuan mana-mana individu kononnya berketurunan Nabi Muhammad atau Ahlul-Bayt.

“Kerajaan Negeri telah pun bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedang mengusahakan satu tindakan bersama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menghalang kemasukan anasir-anasir sebegini ke Negeri Selangor,” tegasnya.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau dalam masa sama menggesa agar umat Islam terutamanya di Selangor merujuk kepada pendirian rasmi Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) atau Jabatan Mufti Negeri Selangor.

“Kita hidup di waktu maklumat boleh diperoleh di hujung jari.

“Kita sudah pun ada agensi-agensi agama Islam rasmi negeri untuk memudahkan masyarakat membuat aduan dan mendapatkan rujukan atau panduan tentang perkara sebegini.

“Andainya rujukan-rujukan rasmi ini tidak dibuat, maka umat Islam akan mudah diperdaya, dipengaruhi, dimanipulasi dan akan mudah taksub dengan pihak-pihak tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi menyeru agar masyarakat Islam kembali kepada asas ilmu dan fakta agar kesucian agama Islam dapat dikekalkan dan dihormati.

BACA JUGA Menteri Agama siasat pendedahan Mawla tunggang nasab Nabi Muhammad