Tergamak peniaga ‘kreatif’ di Kelantan ini jual donat guna roti burger

Entah apa yang peniaga di Kelantan ini fikirkan sehingga tergamak menjual donat menggunakan roti burger.

Rata-rata netizen mengecam tindakan peniaga terbabit yang dikatakan seorang perempuan muda di sebuah pasar malam di Bachok, Kelantan.

Diperli sebagai ‘kreatif’, donat bersalut coklat tersebut dijual berdekatan kawasan pantai di jajahan itu.

“Roti burger, kau potong tengah jadikan donat.

“Saya kalau bab makan mahal ke tak sedap ke diamkan saja. Tapi, ini kira menipu dah ni,” menurut hantaran di Facebook Menarik Kelate Kito.

Namun, ‘mangsa’ tidak pula menyatakan harga kuih berbentuk gelang itu.

Tindakan peniaga itu jelas membohongi pelanggan kerana tidak dimaklumkan pula menjual roti burger bersalut coklat.

“Nak cepat kaya buat beginilah, tak susah-susah keluar peluh. Orang zaman sekarang serba ‘on the spot’.

“Perbezaan lain sangat donat dan roti burger, rasa donat gebu dan tak kering. Kalau burger dia kering, yang mana komen itu kreativiti memang tak berapa cerdiklah,” demikian antara komentar warganet.

BACA JUGA Jenayah seksual di Kelantan naik 26 peratus