Bayi diberi minum susu dibancuh syabu dalam keadaan sihat

Pemeriksaan kesihatan mendapati bayi lelaki yang diberi minum susu dibancuh syabu oleh ibunya dalam keadaan sihat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, bayi berkenaan sudah discaj dari Hospital Kajang pada 22 Februari lalu.

Pada masa ini, katanya, bayi berusia setahun empat bulan itu dalam jagaan neneknya.

“Keadaan bayi sudah sihat,” katanya, lapor BH hari ini.

Semalam, sepasang suami isteri nyaris hampir menyebabkan kematian bayi lelaki mereka selepas tersalah membancuh susu dengan cecair syabu.

Insiden tersebut berlaku di kediaman pasangan terbabit di sebuah flat dekat Taman Medan, Petaling Jaya pada 19 Februari lalu.

Polis menerima maklumat kejadian selepas menerima aduan daripada pihak Hospital Kajang pada 20 Februari lalu.

Kejadian menimpa bayi itu disedari nenek bayi berkenaan yang menjaganya pada hari kejadian.

Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit menghantar bayi mereka untuk dijaga neneknya yang tinggal di Seri Kembangan.

Walau bagaimanapun, ketika dalam jagaan wanita berusia 55 tahun itu, bayi berkenaan tidak berhenti menangis.

Bayi itu juga menjadi terlalu aktif dan sukar dikawal, menyebabkan neneknya bertanyakan ibu bayi berkenaan punca cucunya itu berkelakuan pelik.

Ibu bayi itu kemudiannya mengaku ‘tersilap’ membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya.

Ekoran itu, polis menahan suami isteri terbabit, masing-masing berusia 34 dan 40 tahun di kediaman mereka pada 20 Februari lalu untuk membantu siasatan.

Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek menunjukkan mereka positif dadah.

Semakan polis mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual air balang mempunyai rekod berkaitan kes dadah.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

BACA JUGA Bagaimana dadah untuk 2.6 juta orang boleh disorok dalam hutan simpan?