Menanti titah sulung Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Parlimen pagi ini

Titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Jan lalu, bakal menjadi tumpuan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, pagi ini.

Istiadat yang juga akan disiar secara langsung pada 10 pagi nanti akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; menteri, Ahli Parlimen dan perwakilan asing.

Sebelum urusan Titah Diraja berlangsung di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Dataran Parlimen bagi istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan.

Sultan Ibrahim, 65, menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019.

Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Mengikut takwim di laman web Parlimen, Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari sehingga 27 Mac.

Sementara itu, Mesyuarat Kedua dari 28 Jun hingga 18 Julai (15 hari), manakala Mesyuarat Ketiga dari 7 Oktober hingga 5 Disember (35 hari).

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang antaranya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Selain itu, RUU bagi merealisasikan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) turut dijangka dibentang di Parlimen pada suku pertama tahun ini.

BACA JUGA Agong akan bertitah kepada ahli Parlimen dalam sesi ini