Saya tidak akan layan usaha nak gugat kestabilan, titah Agong di Dewan Rakyat

Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar menitahkan bahawa baginda tidak akan melayan sebarang usaha untuk menggugat kerajaan yang ada.

Dengan menggunakan kata nama ‘saya’ dalam titahnya, Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahu rakyat negara ini berpolitik hanya lima tahun sekali.

“Saya ingin tegaskan di sini, saya tidak akan melayan sebarang permintaan yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah pilihan raya akan datang,” titah baginda pada istiadat pembukaan penggal ketiga sidang Dewan Rakyat.

Ini adalah titah baginda yang pertama kepada awam selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertuan Agong.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada istiadat itu juga, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.

Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.