Usah hasut rakyat dengan isu 3R – Sultan Ibrahim

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan kepada segenap rakyat agar tidak memainkan isu 3R (agama, kaum, diraja) demi keamanan negara.

“Saya juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R.

“Kita semua sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara yang mesti dihormati.

“Ia adalah hasil daripada persetujuan Raja-Raja Melayu untuk membentuk Persekutuan dan memberikan punca kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Dalam masa sama, Seri Paduka turut mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan akan terus kekal dipelihara.

“Namun begitu, agama-agama lain masih dibenarkan untuk diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

“Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba memutar-belitkan atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini,” titah Sultan Ibrahim lagi.

BACA JUGA Saya tidak akan layan usaha nak gugat kerajaan, titah Agong di Dewan Rakyat