Bersih dialu-alukan bantu kerajaan dalam agenda reformasi

Ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan Nabil Halimi menyeru Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) agar turut serta membantu kerajaan dalam pelaksanaan agenda reformasi.

“Kami menyeru pihak Bersih untuk tidak hanya terhenti setakat berhimpun untuk menuntut, sebaliknya juga bersedia menghulurkan tangan membantu Kerajaan untuk mencapai pelaksanaan agenda reformasi bersama-sama bagai aur dengan tebing.”

Nabil berkata demikian sebagai respon kepada Himpunan #Reformasi100peratus yang akan diadakan hari ini.

Bersih menuntut tiga perkara. Pertama adalah untuk menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.

Perkara kedua mengenai had tempoh jawatan perdana menteri, yang juga sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH manakala ketiga berkenaan Akta Hasutan, selaras dengan janji PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim.

Ini adalah demonstrasi pertama Bersih di bawah pimpinan pengerusinya yang baru, Faisal Abdul Aziz.

Nabil berkata reformasi institusi yang diperjuangkan oleh Bersih perlu dilaksanakan secara berperingkat dan mengalu-alukan perbincangan yang membina dengan semua pihak deni agenda reformasi.

Pemimpin muda PKR itu turut mengingatkan bahawa agenda reformasi tidak akan dapat diperjuangkan tanpa kestabilan politik.

Dia turut menyenaraikan beberapa usaha reformasi yang telah diperkenalkan sejak negara dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Â