Ini teks ucapan penuh PM yang mengundang aksi derhaka PN terhadap Agong

UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII SULTAN IBRAHIM
DAN UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH

Tan Sri Yang di-Pertua,

Saya ingin menyatakan bahawa Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XVII yang diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-264 (Khas) pada Rabu, 31 Januari 2024 telah menyaksikan pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XVII Sultan Ibrahim bagi tempoh lima (5) tahun mulai 31 Januari 2024.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Saya selaku Ketua Majlis Parlimen Kelima Belas bagi pihak Dewan yang mulia ini dengan sepenuh ikhlas ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong ke-XVII Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Saya berkeyakinan bahawa Kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan daripada pemerintahan seorang Raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara.

Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya amat berkeyakinan dengan
pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan.

Saya juga ingin merafak sembah dengan ucapan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan Dewan ini turut dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku
Ampuan Pahang, Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun yang lalu dengan penuh adil dan bijaksana.

Saya yakin seluruh rakyat jelata merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Tuanku dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Tengku Ampuan Pahang serta seluruh kerabat sentiasa dilindungi dan dilimpahi taufik dan hidayah oleh Allah Subhaanahu Wa Ta’ala, dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan sejahtera selalu.

Moga Tuanku berdua terus dilimpahi dengan segala kehormatan serta kebesaran dan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhaanahu Wa Ta’ala jua.

Daulat Tuanku.

Sembah Takzim daripada saya dan seluruh ahli Dewan yang mulia ini.

BACA JUGA Pembangkang derhaka kepada Agong, tak beri laluan PM ucap tahniah dan ikrar taat setia