Kabinet luluskan pembesaran LTAPP, dijangka siap 4 tahun lagi

Kabinet sudah memberi ‘lampu hijau’ terhadap usaha pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang menelan kos melebihi RM1 bilion.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan bertanggungjawab bagi proses tender dan pembiayaan projek berkenaan.

“Angka (kos) sebenar akan hanya dapat ditentukan selepas proses tender,” katanya, dipetik Bernama.

Loke berkata demikian kepada media selepas merasmikan acara Routes Asia 2024 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan berharap keseluruhan projek pembesaran LTAPP itu dapat dimulakan pada tahun ini dan siap dalam tempoh kira-kira empat tahun.

Selain itu, katanya, syarikat penerbangan AirAsia sudah mengemukakan permohonan kepada kementerian dan mendapat kelulusan awal untuk mengenakan caj tambahan bagi pelepasan karbon.

Bayaran itu, tegasnya, adalah minimum dan ditentukan oleh kuasa pasaran memandangkan sebarang cukai karbon yang tinggi boleh menjejaskan minat orang ramai.

“Ini bukan mandatori dan sesuatu yang perlu diputuskan sendiri oleh syarikat penerbangan, bergantung kepada strategi serta mekanisme harga masing-masing,” katanya.

Berbeza dengan Singapura, kata Loke, Malaysia sebaliknya mengambil pendekatan lain berkaitan komitmen berkenaan.

“Namun, bahan api penerbangan mampan (SAF) adalah mahal.

“Bagi membolehkan syarikat penerbangan melaksanakan penggunaan SAF, mereka perlu menaikkan harga (tambang) atau mengenakan caj tertentu ke atas penumpang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun syarikat penerbangan tertentu berhasrat mengenakan caj karbon itu, kementerian melihatnya sebagai satu pilihan.

“Ada cara lain untuk melakukannya dari segi mengurangkan pelepasan karbon seperti kecekapan operasi.

“Sebagai contoh, bagaimana kita dapat memastikan pelepasan dan pendaratan pesawat secara lebih cekap dan teratur tanpa memakan tempoh lebih lama atau mengurangkan masa terbabit,” katanya.

Usaha itu, tambahnya, memerlukan kerjasama pengurusan trafik udara yang tertakluk di bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

BACA JUGA Tangguhkan dulu projek KXP, utamakan LTAPP