KKM punyai tujuh hospital khidmat pakar jantung selain daripada IJN

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai tujuh hospital dengan khidmat pakar jantung selain daripada Institut Jantung Negara.

Sejak sekian lama, KKM telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN dan terutamanya untuk mengurangkan ‘kesesakan dan masa menunggu yang lama’ Pusat Jantung KKM (cth. Pusat Jantung Serdang). Kami mempunyai 7 hospital yang mempunyai Perkhidmatan Kardiologi dan 3 termasuk mempunyai Perkhidmatan Kardiotorasik,” kata beliau menerusi satu hantaran Facebook.

Perkara ini dijelaskan beliau ekoran timbulnya laporan bahawa pesara kerajaan telah menerima discaj daripada IJN selepas menerima rawatan.

Laporan tersebut turut mendakwa bahawa doktor di IJN menyatakan bahawa mereka mengikuti arahan KKM agar pesara dan kakitangan kerajaan didiscaj ke pusat kardiologi kerajaan.

Dr Dzulkefly turut menjelaskan bahawa KKM turut membayar IJN untuk setiap pesakit yang dirujuk ke situ.

“KKM membayar kepada IJN untuk setiap pesakit yang dirujuk ke lJN, menggunakan pembiayaan tahunan persekutuan yang diterima daripada MOF.

“Oleh itu, untuk memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke lJN, pesakit dibenarkan discaj apabila keadaan mereka stabil ke Pusat Jantung KKM yang lain.”

BACA JUGA: Elaun doktor lokum di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dibayar serta-merta