Titah Agong gantung ahli parlimen 14 hari langkah ke arah reformasi
Semalam Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan lampu hijau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk menggantung ahli parlimen yang tidak berdisiplin selama 14 hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.
“Kalau tengok perangai ahli parlimen sebelum ni, saya rasa malu hendak masuk ke dewan ni,” titah baginda.
“Oleh itu, adalah tidak masuk akal penggubal itu gagal mematuhi peraturan yang dibuat.
“Menjadi harapan saya agar semua ahli parlimen tunjukkan contoh teladan baik apabila berada di dewan yang mulia ini.
“Jaga adab dan tatatertib, gunakan tutur kata yang sopan, bukan maki-hamun orang lain,” titahnya.
“Saya beri greenlight (lampu hijau) kepada speaker untuk ambil tindakan terhadap ahli parlimen yang melampaui batas… boleh banned (gantung) 14 hari jika ada yang masih degil,” titah baginda lagi.
Titah baginda ini memperlihatkan kesungguhan pihak istana yang juga senada dengan kerajaan dalam mereformasi Dewan Rakyat.
Ahli parlimen pembangkang seringkali memperlihatkan kebiadapan dan kegagalan mereka dalam menuruti tatasusila Dewan Rakyat.
Antara yang pernah diarah keluar dewan ialah Datuk Awang Solahudin Hashim (PN-Pendang), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa-PN) dan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau). Mereka berempat dari Pas.
Ada juga ahli Dewan Rakyat dari Bersatu yang diarah keluar dewan iaitu Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya).
Ahli parlimen blok kerajaan yang diarah keluar dewan adalah seperti RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat). Rayer, daripada DAP dan Sany daripada AMANAH.
Kesemua yang disenaraikan ini merupakan mereka yang diarahkan keluar Dewan Rakyat pada 2023 dan ini bukannya senarai lengkap.
Sepanjang pemerhatian penulis, tempoh penggantungan paling lama yang dikenakan oleh Yang Dipertua ialah tiga hari.
Yang pasti, tempoh tersebut tidak berkesan kerana sesetengah dari ahli parlimen melakukan kesalahan berulang.
Mereka bukan anak-anak yang kurang pengalaman hidup tetapi melakukan kesalahan berulang seperti menggunakan perkataan yang dilarang dalam sidang dewan.
Tempoh penggantungan yang lebih lama sepertimana yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong akan menjejaskan elaun kehadiran mereka. Semua ahli parlimen memperoleh RM400 sehari untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Penggantungan selama 14 hari sekurang-kurangnya akan menidakkan RM5,600 untuk mengisi kocek mereka.
Mereka yang tidak berdisiplin dan mengecohkan Dewan Rakyat sememangnya tidak layak mendapat jumlah tersebut.
Secara kesimpulannya, lampu hijau oleh Agong ini akan membantu reformasi parlimen yang juga merupakan agenda Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.