8,522 pakar perubatan berkhidmat dengan kementerian

Seramai 8,522 pakar perubatan merangkumi 29 bidang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan sehingga Februari 2024, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau turut menyatakan pelbagai usaha sentiada dibuat untuk memperluaskan perkhidmatan kepakaran di fasiliti kerajaan.

Berikut adalah inisiatif yang telah diambil untuk meningkatkan bilangan pakar perubatan pelbagai bidang:

(a) peningkatan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan daripada 1,500 slot setiap tahun kepada 1,650 slot pengajian bagi sesi tahun 2024/ 2025 untuk menggalakkan lebih ramai Pegawai Perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran;

(b) peningkatan peluang latihan kepakaran perubatan supaya lebih ramai doktor pakar dihasilkan melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway di KKM yang menawarkan 600 slot tajaan;

(c) pelantikan semula secara kontrak Pegawai Perubatan Pakar warganegara yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan KKM mengikut keperluan terutama di kawasan yang berkeperluan tinggi bagi perkhidmatan kepakaran;

(d) perkhidmatan kepakaran daripada pihak swasta untuk berkhidmat secara sessional (dengan izin); dan

(e) menggalakkan Pakar Perubatan warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air.

Dr Dzulkefly turut menyatakan bahawa gred UD56 diwujudkan untuk mengekalkan pakar perubatan. Kemudahan lain yang ditawarkan termasuk kelonggaran untuk mengamal dalam sektor swasta di luar waktu pejabat dan 1 hari waktu kerja anjal.

Bayaran khas untuk pakar perubatan

Bayaran-bayaran tertentu turut ditawarkan kepada pakar-pakar tersebut. Antaranya adalah seperti berikut.

(a) Elaun sebanyak RM200 sejam akan diberikan kepada pegawai perubatan pakar yang melakukan kes-kes pembedahan pada hari cuti hujung minggu bagi mengurangkan masa menunggu bagi kes-kes pembedahan elektif.

(b) Kadar Bayaran Insentif Pakar yang ditambah baik daripada kadar asal RM1,400.00 – RM2,400.00 kepada RM1,900.00 – RM 3,100.00 mulai 1 Januari 2009 dengan peningkatan sebanyak RM500.00 – RM700.00.

(c) Kadar bayaran Elaun Kerja Luar Waktu Bekerja Biasa (On-call) (EKLWBB) (Active Call) (dengan izin) yang ditambah baik bagi Pegawai Perubatan Pakar iaitu RM230 pada hari bekerja biasa dan RM250 pada hari cuti mingguan dan cuti am.

(d) Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan/ Pergigian (BIPP) kepada Pegawai Perubatan Pakar yang bertugas di fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak berkuatkuasa 1 Julai 2016. Kadar bayaran adalah dalam lingkungan RM500.00 – RM2,000.00 bagi kawasan bandar dan lingkungan RM1,000.00 – RM2,500.00 bagi kawasan luar bandar.

(e) Perkhidmatan Full Paying Patient (FPP) (dengan izin) yang diperkenalkan di Hospital KKM sejak tahun 2007 yang bertujuan untuk mengelakkan penghijrahan Pegawai Perubatan Pakar KKM ke hospital swasta.

Dr Dzulkefly menyatakan perkara ini dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanya mengenai jumlah doktor pakar yang masih berkhidmat dengan kerajaan dan langkah yang diambil untuk memastikan jumlah doktor pakar mencukupi.