Anwar sambut baik saranan Bersih

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik saranan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil susulan demonstrasi yang dibuat kumpulan tersebut semalam

“Kerajaan Perpaduan terbuka kepada sebarang rekomendasi atau saranan pihak BERSIH khususnya dalam penambahbaikan proses pilihan raya dan reformasi institusi.

“Beberapa saranan pihak Bersih menjadi perhatian saya dan terdapat antara cadangan dalam memorandum tersebut telah pun berada dalam pertimbangan dan tindakan Kerajaan Perpaduan,” kata Anwar menerusi hantaran Facebook.

Beliau turut menekankan pendekatan bertukar pandangan dengan masyarakat sivil dalam proses demokrasi negara.

“Dialog serta ruang bertukar pandangan seperti ini penting bagi memahami aspirasi masyarakat sivil serta cabaran yang dihadapi oleh kerajaan khususnya dalam isu yang dikemukakan dalam memorandum ini.

“Pendekatan yang lebih inklusif dalam mendengar sendiri pandangan masyarakat sivil seperti Bersih diharap dalam meningkatkan lagi sinergi masyarakat sivil dengan kerajaan dalam proses demokrasi negara.”

Semalam Bersih berarak ke parlimen dengan 10 tuntutan berkaitan:

  • Pelantikan pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya
  • Penyahrahsiaan laporan reformasi pilihan raya
  • Akta Kesalahan Pilihan Raya
  • Pendanaan politik
  • Penentuan kawasan pilihan raya
  • Pemisahan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara
  • Moratorium ke atas pembebasan tanpa pelepasan
  • Akta Perkhidmatan Parlimen dan Peraturan Mesyuarat
  • Akta Parlimen Penggal Tetap
  • Akta Peruntukan Kawasan Parlimen

Menurut laporan Malaysiakini, pengerusi Bersih Mohd Faisal Abdul Aziz berkata Anwar bersetuju berkenaan reformasi kesalahan pilihanraya, pemisahan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara dan pengukuhan parlimen menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen.