Hassan Karim terkhilaf berkenaan titah Agong

Ahli Dewan Negara Datuk Seri Mujahid Yusof menyifatkan ucapan menjunjung titah Agong oleh Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) semalam sebagai kekhilafan kerana naif dalam memahami realiti dan latar belakang kepada titah ucapan tersebut

“Yb Pasir Gudang ralat dalam kenyataannya terhadap titah YDPA di Parlimen bukan kerana titah baginda tidak boleh diberi pandangan oleh MP, tetapi beliau ralat kerana naifnya MP Pasir Gudang terhadap realiti dan latar titah ini dibuat.

“Raja kita raja berperlembagaan tapi kiasan raja adalah hikmah yang mendalam, hanya jauhari yang mengenal manikam.”

Mujahid yang juga timbalan presiden AMANAH berkata demikian sebagai respon kepada ketidaksetujuan Hassan kepada titah baginda yang menegaskan agar pihak pembangkang menunggu pilihanraya sebelum menukarkan kerajaan.

Mujahid menjelaskan bahawa bahawa semua ahli parlimen perlu menghormati kuasa Agong sebagai institusi bila mana baginda mengkritik ahli politik.

Menurutnya Hassan gagal memahami konteks keseluruhan titah ucapan tersebut dan kebimbangan Agong berkaitan ketidakstabilan politik yang akan menjejaskan kebajikan rakyat dan usaha memakmurkan rakyat.

Mujahid juga bertanya sama ada Hassan telah lupa usaha-usaha pembangkang untuk mengambil alih kerajaan secara tidak demokratik sebelum ini.

“Apakah Yb Pasir Gudang lupa berbagai peristiwa politik yang berlaku sekitar 2020 seperti Langkah Sheraton yang meninggalkan parut politik menyebabkan rakyat hilang percaya kepada MP dan institusi politik kepartian?

“Tidakkah Yb Pasir Gudang ambil pengajaran bahawa dibalik langkah ini adalah keruntuhan moral MP yang boleh dibeli dengan duit ringgit dan janji pangkat?

“Kemudian usai PRU ke 15 ada lagi cakap-cakap nak tukar kerajaan sehingga rakyat diheret kepada polemik berapa lama kerajaan madani akan bertahan?

“Pembangkang hanya sibuk meneka berapa haribulan kerajaan ini akan jatuh dan menggunakan sentimen kaum dan agama kepada Kerajaan Perpaduan.”

Beliau menjelaskan bahawa pindaan perlembagaan dengan peruntukan anti lompat parti telah diluluskan untuk menoktahkan usaha menukarkan kerajaan secara tidak sihat.