Masalah Kelantan boleh diselesaikan lebih cepat sekiranya negeri, pusat parti sama

Masalah rakyat akan lebih cepat diselesaikan sekiranya Kelate sekepala dengan kerajaan pusat, kata pengguna laman X.

“Ini baru Kota Lama.. bayangkan kalau Kelate sekepala dengan kerajaan…”

Itu reaksi salah seorang pengguna di laman X dikenali sebagai @theonlyajam yang kagum apabila mendapat tahu jalan di Lorong Kelochor Setia, Kota Bharu telah diturap hasil usaha daripada wakil rakyat di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pihaknya telah menerima aduan jalan rosak daripada penduduk di situ.

Beliau berkata, penduduk meminta supaya jalan ditar (diturap) sepenuhnya kerana keadaan jalan yang teruk sehingga menyebabkan kenderaan yang lalu-lalang di situ rosak.

“Kami mengambil maklum aduan tersebut dan beberapa solusi telah diambil.

“Kerja pembaikan semula jalan telah dilakukan oleh pihak kontraktor dengan menabur batu ‘crusher run’ dahulu dan Alhamdulillah kini jalan di Lorong Kelochor Setia telah ditar sepenuhnya,” katanya di laman X.

Dr Hafidzah berkata, menurut penduduk jalan berkenaan sudah bertahun tidak dibaiki.

ADUN Pakatan Harapan (PH) daripada AMANAH itu turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kesabaran dan kerjasama semua pihak ketika proses pembaikan laluan itu dijalankan.

“Terima kasih juga kepada pihak Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) telah mensejahterakan rakyat.

“Keselamatan dan kesejahteraan penduduk Kota Lama sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar beliau lagi.

Menurut Dr Hafidzah yang juga Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan, pihaknya komited untuk memastikan setiap aduan dan masalah yang dihadapi warga Kota Lama, diberikan perhatian sewajarnya dan diselesaikan dengan cekap.

Seorang lagi pengguna laman X @ainshahirah98 menyifatkan penurapan jalan itu adalah sesuatu yang jarang berlaku di negeri berkenaan.

“Terbaik! Benda macam ini kalau kat Kelate memei ‘rare’ la…”

Susulan usaha Dr Hafidzah itu, @AbdQuddusMatIsa pula berharap ianya akan menjadi sesuatu yang dihargai oleh penduduk di negeri itu.

BACA JUGA: Dr Hafidzah sokong perjuangan penduduk Jalan Atas Paloh