Perhimpunan Mega Palestin: Penganjur masih gagal kemukakan pemakluman, permohonan

Penganjur program Perhimpunan Mega Rakyat Demi Palestin pada 2 Mac ini masih gagal mengemukakan sebarang pemakluman dan permohonan setakat ini kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menafikan bahawa tiada kelulusan permit dikeluarkan untuk perhimpunan itu seperti yang dimaklumkan oleh Sekretariat Solidariti Palestin (SSP)

“Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah mengadakan sesi perjumpaan bersama pihak penganjur Mega Rakyat Demi Palestin pada Khamis (22 Februari) lepas.

“Hasil perjumpaan tersebut, pihak penganjur telah dinasihat untuk mengemukakan pemakluman dan permohonan permit kepada pihak IPD Wangsa Maju,” jelasnya dalam kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan atau melanggar undang-undang,” katanya lagi.

Sebelum ini, jurucakap SSP, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan dilapor berkata, pihaknya masih memerlukan kelulusan IPD Dang Wangi serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi himpunan.

Perhimpunan itu melibatan pergerakan peserta sejauh kira-kira 5 kilometer dari bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke Padang Merbok.

Beberapa ‘checkpoints’ akan dilalui peserta termasuk Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Hotel Renaissance.

BACA JUGA Kerajaan Malaysia kecam keras pencerobohan askar Israel bunuh rakyat Palestin