Perolehan bersama, garis panduan MOF – langkah turunkan harga ubatan

Perolehan bersama dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF)dituruti sebagai langkah menurunkan harga ubat-ubatan dalam urusan perolehan ubat oleh Kementerian Kesihatan.

“Malaysia merupakan pengimport produk farmaseutikal di mana majoriti ubat-ubatan diperoleh daripada syarikat multinasional.

“Selain itu, bagi ubat yang dikilangkan di Malaysia, bahan aktif farmaseutikal masih
perlu diimport dari luar negara.

“Oleh yang demikian, harga ubat-ubatan dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi semasa seperti kadar tukaran wang asing, kos penyelidikan dan pembangunan ubat-ubatan dan masalah berkaitan pengilangan yang di luar kawalan KKM,” kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar).

Justeru itu dua langkah yang diikuti adalah seperti berikut:

(a) menggunakan prosedur, garis panduan dan arahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan iaitu melalui perolehan secara tender terbuka, sebut harga dan juga pembelian terus berdasarkan nilai perolehan sesuatu ubat tersebut. Selain itu, ubat-ubatan keluaran tempatan turut diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan.

(b) melaksanakan perolehan secara bersama (pooled procurement) dengan Hospital Pengajar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

Selain itu subsidi ubatan kepada pesakit dikekalkan agar rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berterusan.

Untuk pesakit di hospital swasta pula, Kementerian Kesihatan menyediakan Harga Panduan Pengguna yang boleh diperoleh di laman sesawang www.pharmacy.gov

Kementerian Kesihatan juga sedang meneliti inisiatif ketelusan harga ubat dimana fasiliti kesihatan swasta perlu memaparkan harga ubat sepertimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bulan Oktober tahun lalu, tambah Dr Dzulkefly.