Teruk betul perangai pembangkang, terjerit-jerit dan amat biadab – Puad
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pembangkang masih dengan budaya lapuk mereka seperti terjerit-jerit ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung.
Semalam, ahli Parlimen blok pembangkang bertindak keluar dewan selepas tidak berpuas hati kerana mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.
Susulan kejadian itu, Puad berkata, tindakan pembangkang adalah sesuatu yang biadab ketika Perdana Menteri baru memulakan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan (YDP) Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
”Memang teruk ‘peel’ pembangkang. Amat biadab keluar Dewan ketika PMX baru mula ucapan menjunjung kasih kepada YDP Agong ke-16.
”Pembangkang macam tidak boleh dinasihati. Titah perasmian YDP Agong Tuanku Sultan Ibrahim cukup jelas.
“Tidak masuk akal penggubal undang-undang tidak ikut peraturan, ucapan menjunjung kasih pun jadi kecoh,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Protes oleh ahli parlimen pembangkang itu dibuat susulan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun untuk menyampaikan Penerangan Menteri berkaitan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan Anwar memberikan penerangan tersebut di tengah-tengah sesi Perbahasan Titah Diraja adalah menyalahgunakan ‘sokongan majoriti’ yang dimiliki oleh kerajaan.
Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, kerajaan membawa usul menggunakan peraturan 14(2).
“Ia diundi. Masalahnya pembangkang masih dengan budaya lapuk.
”Terjerit jerit, kata-kata kesat dan mencelah tidak ikut peraturan, dianggap hero dan berprestasi tinggi.
”Elok Speaker semak balik peraturan mesyuarat 44(2). Apakah ahli yang digantung boleh ditarik balik segala kemudahan mereka dalam tempoh penggantungan itu?” ujarnya.
Dalam pada itu, Puad juga mengimbas kembali tentang penggantungan ahli parlimen yang pernah berlaku sebelum ini.
”Gobind Singh Deo (Puchong) dan Fong Po Kuan (Batu Gajah) pernah digantung lama dan hilang segala kemudahan ahli parlimen mereka.
”Gobind dapat balik gaji dia atas perintah Mahkamah Persekutuan. Elok peraturan ini dikaji semula. Jangan bazir duit pembayar cukai.
“Hadir Parlimen hanya buat kecoh,” bidas beliau lagi.
BACA JUGA Pembangkang derhaka kepada Agong, tak beri laluan PM ucap tahniah dan ikrar taat setia