Transformasi Ekonomi Bumiputera angkat Melayu, tetapi tidak pinggirkan kaum lain

Dalam melaksanakan Tranformasi Ekonomi Bumiputera (TEB), kerajaan akan memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak Bumiputera, tetapi pada masa sama memastikan wujudnya sinergi dengan bukan Bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera yang diketengahkan dalam kongres kali ini berbeza dengan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang lahir daripada KEB pertama dan kedua pada era 60-an dahulu.

Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 hari ini, Zahid menggariskan sekurang-kurangnya tiga matlamat utama yang hendak dicapai dalam merealisasikan hasrat Transformasi Ekonomi Bumiputera.

Tiga matlamat tersebut antaranya adalah keadilan sosio-ekonomi; Kemampanan negara bangsa; dan Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Bertitik tolak daripada hasrat Dasar Ekonomi Baru yang tidak mahu lagi aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum, hari ini tembok itu telah pun berjaya diruntuhkan.

“Kaum Bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, Cina bukan lagi mendominasi gelaran saudagar begitu juga dengan kaum India, tidak lagi berlegar di perladangan.

“Atas semangat ini, tiga matlamat utama yang digariskan, menuntut semua kaum bahu membahu membangunkan negara.

“Ia juga bagi memadamkan penceritaan ekonomi negara dikuasai oleh kumpulan minoriti, yang tentunya mengundang resah kaum majoriti, dan pada akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial,” katanya ketika Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya hari ini.

Apa yang menarik, atas komitmen untuk menjayakan tiga matlamat utama yang digariskan bagi mencapai Tranformasi Ekonomi Bumiputera, Zahid turut menyenaraikan enam tekadnya dalam menjayakan lagi dasar yang dirangka.

Beliau antara lain memberi jaminan bahawa hak kaum lain tidak akan dinafikan atau dipinggir dalam usaha mengangkat ekonomi kaum Bumiputera.

“Kita telah menyaksikan sejak pelaksanaan KEB yang pertama pada tahun 1965 sehingga kini, pelaksanaannya turut mengangkat dasar yang menghormati hak semua kaum termasuk akses kepada peluang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan lain.

“Sejarah telah membuktikan bahawa usaha kerajaan memperkasa Bumiputera tidak sesekali menyebabkan mana-mana kaum lain di negara ini terpinggir.

“Begitu juga dengan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera ini, hak pelbagai kaum akan terus dijamin,” ujarnya.

BACA JUGA KPKM sasarkan sehingga 2.2 juta tan metrik beras putih tempatan

Â