KEB 2024: Zahid cadang tubuh Perbadanan Tanah Bumiputera

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar diwujudkan satu Perbadanan Tanah Bumiputera sebagai langkah untuk mengekalkan pemilikan tanah Bumiputera.

Dalam ucapannya ketika Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 hari ini, Zahid berkata perbadanan itu bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, cadangan tersebut antara tiga ikhtiar yang perlu dilaksanakan dalam memperkasakan Bumiputera.

“Adalah disyorkan, semua tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan diurustadbir melalui perbadanan ini,” katanya ketika perasmian KEB 2024, di Putrajaya hari ini.

Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan langkah proaktif untuk menjamin keseimbangan demografi kaum; mewujudkan kelangsungan kawasan usaha Bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu; serta usaha tambahan mengekalkan pemilikan Bumiputera

“Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.

“Melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan usaha diharapkan memberi manfaat maksimum kepada komuniti Bumiputera, mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan,” ujarnya.

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi Bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

BACA JUGA Transformasi Ekonomi Bumiputera angkat Melayu, tetapi tidak pinggirkan kaum lain